Jun 19, 2008

:: [ KAWAL AMARAHMU ]

Kadangkala bila amarah menguasai diri, kita tak sedar kita telah membuat hati insan yang kita sayang serta disekeliling kita terluka. Pada waktu itu kita hanya fikir untuk melampiaskan rasa amarah yang menggila dalam jiwa. Yang penting rasa amarah dapat dilampiaskan. Itu sahaja. Tapi pernahkah kita fikirkan kesan dari amarah kita itu?Kesannya kadangkala terlalu dalam dan sukar untuk di ubati bagi mereka yang menjadi mangsa amarah kita yang menggila . Parut yang ditinggal kadangkala tetap berdarah walau pun kata maaf sudah pun dilafazkan.
Bila amarah menguasai diri, kadangkala kata – kata yang ditutur begitu memedihkan. Begitu merentap jiwa. Tanpa disedari kita mungkin bertindak diluar batasan pemikiran manusia normal. Tak mustahil seandainya kita turut menggunakan kekerasan. Kata-kata yang memedihkan, ‘hadiah’ yang ‘istimewa’ berbekas di badan, meninggalkan kesan emosi terlalu dalam untuk difahami dan dimengertikan.
Andai sayang semakin berkurang kerna kekhilafan kita sendiri yang tidak mampu mengawal amarah yang meluap jangan salahkan mereka andai kita kehilangan mereka… sejauh mana kesabaran mampu bertahan?manusia bukan malaikat. Mereka mempunyai hati dan perasaan. Mereka ingin disayangi dan mereka bukan diminta dijadikan sebagai tempat untuk melampiaskan segala amarahmu.
Setiap manusia yang dilahirkan semestinya mempunyai sifat amarah. Kerna kita adalah manusia dan bukannya malaikat. Kita wajar berasa marah atas dasar yang sepatutnya kita rasa wajar untuk memarahi. Kerna kadangkala sebagai manusia kita sendiri mudah terleka seandainya tidak dimarahi. Itu lumrah manusia. Kerna manusia itu tidak pernah sempurna dan takkan sempurna.
Namun apabila emosi ‘berapi’ menguasai diri, berusahalah untuk mengawalnya. Amarah umpama api, kecil ia menjadi kawan dan berguna untuk kita namun apabila ia besar ia menjadi lawan malah mampu membunuh kita. Tidak salah untuk memarahi, kerna ia adalah ekspresi diri kita terhadap sesuatu. Kita marah atas dasar sayang, membetulkan yang salah, melepaskan ketidakpuasan hati, mepertahankan maruah,hak,kuasa serta orang kesayangan kita dan sebagainya. Namun apakah tanda sekiranya amarah itu mampu memberi kelukaan terhadap insan disekeliling kita?
Andai seorang ketua tidak memarahi pekerjanya yang telah melakukan kesilapan setelah ditegur wajarkah?, andai kita dipijak atau dihina namun kita tidak berasa marah wajarkah?, andai kita ditipu namun kita tidak berasa marah, malaikatkah anda?. Amarah ditempat yang betul anda akan dihormati dan disayangi. membiarkan nafsu amarah bukan ditempat yang sewajarnya, umpama hilang sudah nilai harga diri kamu. Pilihan ditangan untuk memilih. Tiada siapa yang memaksa untuk membuat pilihan .hanya kita sendiri yang bisa membuat pilihan yang tepat.

Kerna cemburu yang menggunung, amarah meluap. Tanpa mendengar penjelasan yang pasti, api amarah dilepaskan tanpa memikirkan kesannya. Dalam membina hubungan antara insan, pelbagai jenis sikap dan karakter kita akan temui. Mungkin ada yang kita boleh terima atau langsung tidak serasi dengan diri kita.
Jangan memilih untuk menjadi manusia yang tewas. TEWAS dimedan perang amarah yang kita cipta sendiri. samada ia berpunca dari orang lain atau kekhilafan kita, kemarahan harus dikawal. Kerna amarah yang tidak dapat dikawal manusia mampu berubah menjadi ‘binatang’. Kerna amarah yang tidak terkawal hubungan kekeluargaan mungkin putus, hubungan yang baik mampu bertukar menjadi dendam, musnahnya segala apa yang telah kita bina kerna kedangkalan kita tatkala mengawal emosi marah yang begitu membara.
Bayangkan sekiranya kita memaku dinding yang ‘bersih’ dengan seguni paku ketika kita tengah marah. Kemudian kita mencabut kembali kesemua paku yang ada di dinding tersebut apabila keadaan kita kembali tenang. Dinding yang ‘bersih’ itu tak akan menjadi seperti asal bukan?sudah tentu ia meninggalkan kesan. Dinding menjadi tidak sempurna seperti asal., ia meninggalkan kesan yang tidak enak untuk dipandang. Begitu juga halnya kepada insan yang kita marah. Mereka mungkin sudah memaafkan namun parut kesan dari perbuatan kita masih kekal dalam ingatan.
Sekeping hati ini begitu lembut dan mudah ‘pecah’ seandainya tidak dijaga dengan sempurna….. sama ada kau, aku semua mempunyai sikap marah.itu adalah ‘bekal’ untuk kita menjalani hidup dengan seimbang. Marah lawannya sabar. Amarah kita mempunyai hadnya. Jangan sampai ia melampaui batas.
Manusia mempunyai akal yang membezakannya dengan binatang. Kerna itu TUHAN membekalkan kita dengan otak untuk berfikir, akal untuk menganalisis dan mengawal segala tindak tanduk kita. Jadilah manusia yang berakal dan berotak tapi bukan hanya berotak…..

Countessonekilleroses
24 April 2008